MANA MAK ....

Monday, 7 January 2013


Mana Mak?'

Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”


Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.


Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.





Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?


cubalah anda menonton video pendek ini.....moga2 ia dapat member manfaat kepada kita semua..


KISAH disebalik cebisan kain yang menutupi....

Saturday, 5 January 2013

~ Sebuah perkongsian pengalaman seorang pelajar IPT

Dewan kuliah besar pauh putra tiba-tiba sunyi dan senyap setelah seorang professor menolak pintu.

Aku yang sedang membelek-belek jadual waktu mengangkat wajah.

Menyoroti langkah pensyarah ke bahagian hadapan dewan sambil membetulkan dudukku.

Aku capai buku nota kuliah di dalam beg galas yang berada dihujung kaki.

"Assalamualaikum dan selamat pagi..welcome back to a new semester.

Tahniah kerana anda menjadi pelajar saya dan selamat datang ke kuliah pertama untuk subjek thinking skill"

Ujar lelaki yang usianya dalam lingkungan 40-an.

Dia melemparkan senyum kepada seisi dewan.

Lontaran salam itu dijawab oleh pelajar yang hampir memenuhi dewan.

Aku menjawab perlahan yang tahap bunyinya hanya mampu didengar oleh diriku sendiri.

Ada senyuman yang megah meniti di bibirnya.

Aku mengerutkan dahi.

Cepat2 aku istighfar.

Tak mahu bersangka buruk kepada seseorang yang baru sahaja aku kenal.

"Ok class. My name is Professor Madya Dr Rashid Salleh.

I am your lecturer for this subject.

Hmmm..hari ini saya tidak bercadang untuk mengajar anda semua.

Kuliah kita yang sebenar akan bermula pada minggu depan.

Minta anda semua menanda kehadiran pada hari ini yaa.."

Prof Rashid menghulurkan beberapa helaian kertas yang terdapat senarai nama untuk ditanda kehadiran oleh pelajar-pelajar yang hadir pada hari itu.

"Ok....let's start ice breaking!!" 

sambungnya sambil memandang ke arah tengah dewan.

Lebih tepat lagi ke arah tempat dudukku.

Anak matanya mati tepat ke arahku.

Waktu itu aku menundukkan pandanganku.

Sudah aku tahu apa yang bermain di fikiran lelaki hampir separuh usia itu.

Debaran mula dirasai.

Nafasku tidak menentu di sebalik cebisan kain yang menutupi wajahku.

"I want to start from right. Please introduce your name, hometown and your course."

Fuhhhhh!!..Aku melepaskan nafas lega.

Risau jika aku dipanggil ke depan dan diminta keluar dewan kerana penampilan aku sebegini..

ALhmdulillah...

Tidak seperti yang dijangkakan oleh fikiran.

Seorang demi seorang pelajar memperkenalkan dirinya sehinggalah sampai kepada giliran aku.

"Saya Ummu Ummairah binti Abu Bakar. Berasal dari Kelantan.

Pelajar dari kejuruteraan kimia."

Aku merasakan dewan kuliah besar itu sunyi sepi.

Udara yang memasuki hidungku terasa dingin. 

"Hmmm...kamu tahukah yang peraturan universiti di Malaysia ini tentang larangan berpurdah di dalam kawasan kampus..??"

Tanya Prof Rashid tenang.

Tiada terlalu kuat.

Tapi kedengarannya di telingaku cukup sinis.

Aku berdiri sambil menundukkan kepala.

Mataku pejam rapat2 seketika untuk mencari kekuatan.

Aku mengangguk perlahan.

Tidakku pasti samada pensyarah berjaket biru gelap itu melihat anggukanku kerana dia sudah mula mengatur langkah kembali ke depan dewan.

Sunyi.

Pelajar semua diam. Dan aku tersangat yakin yang semua mata sedang memandang ke arahku.

"Saya bagi kamu pilihan.....samada kamu ingin membuka purdah kamu atau kamu mahu meninggalkan dewan kuliah ini dan menggugurkan subjek saya.

Saya pantang jika pelajar melanggar peraturan."

Tersentak aku.

Tidakku sangka aku diberi pilihan yang sebegitu oleh seorang pensyarah yang beragama "ISLAM"

Seseorang yang hidupnya sebagai seorang Islam.

Ya ALLAH.....KAU berikanlah aku kekuatan!

"Untuk membuka purdah ini...itu jauh sekali.

Jika kehilangan nyawa sekalipun belum tentu saya akan membukanya.

Saya minta maaf prof....

Saya memilih untuk meninggalkan dewan sekarang.

Tapi saya tidak akan menggugurkan subjek ini.

Prof hanya perlu bagitau saya kelas thinking skill yang mana lagi selain kelas prof saya boleh ikuti jika prof tidak mahu saya menjadi pelajar prof."

Tenang dalam ketegasan aku saat itu.

Hanya pandangan mata yang redup yang mampu aku pamerkan.

Riak wajahku takkan mampu dibacanya.

Kelas sunyi dan terus sunyi.

Aku duduk dan megambil nota-notaku diatas meja dan memasukkannya ke dalam bag tanpa mempedulikan sesiapa.

Aku sedayanya cuba mengawal suaraku untuk mengelakkan diri dikatakan biadap.

"owh ya??...selalunya orang yang bersikap macam inilah yang menghancurkan organisasi.

Menghancurkan negara kerana keengganan untuk mematuhi peraturan.

Kamu pelajar dan kamu terikat dengan peraturan di sini."

sinis kata-kata itu.

Aku terkaku.

Ya ALLAH..sungguh..aku sedang diuji..

Dan aku harus pertahankannya.

Aku harus membuka mata hatinya tentang hakikat sebuah peraturan.

"Kenapa harus mematuhi peraturan yang digubal manusia yang mengikut kehendak dan kemahuan diri sedangkan manusia itu sendiri tidak mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar.???

Kenapa pelajar tidak boleh untuk berpurdah dan mengamalkan sunnah seperti yang telah diajar oleh Islam.???"

Soalku penuh kelembutan.

Begitulah sifat yang ada padaku.

Dalam marah dan tegas itu ada kelembutan yang aku sendiri tidak pasti dari mana lahirnya.

Prof Rashid memandang tepat ke arahku sambil membetulkan kaca matanya..

Disilang tangannya ke dada..

"Dan kenapa kamu memilih untuk berpurdah??

Apa tidak ada sunnah lain yang boleh kamu ikut selain berpurdah??

Banyak keburukannya untuk institusi pendidikan di Malaysia.

Apa wajah kamu terlalu cantik untuk dipamerkan??.."

Ada ketawa kecil dan sinis kedengaran memenuhi seisi dewan.

Ketawa yang dibuat-buat itu buat hati aku sedikit terusik.

Mungkin tercalar dan sakit..

Aku tarik nafas sedalamnya, cuba mencari ketenangan di dalam dada sebelum bersuara untuk sekelian kalinya.

"Maafkan saya sekali lagi prof.

Bukan saya mahu berlagak pandai dan bijak kerana saya tahu prof jauh lebih bijak dari saya.



Tapi satu perkara yang prof harus tahu yang ada 3 sebab untuk berniqab.
Pertama seseorang itu berniqab kerana kecantikan dan kejelitaan wajahnya sehingga wajahnya menjadi fitnah dan tarikan seorang lelaki sehingga menaikkan syahwat.
Dalam keadaan ini wajib untuk dia berpurdah.
Kedua, diharuskan seseorang itu untuk berpurdah kerana memiliki wajah yang kurang cantik@ mempunyai kecacatan pada wajahnya sehingga dia menjadi bahan ejekan, cacian dan hinaan.
Oleh sebab itu dia mahu menutup keaiban dirinya.
Yang ketiga, berpurdah bagi seseorang yang merasai dia mampu untuk menjaga dan memelihara kecantikannya hanya untuk tatapan suaminya..
Juga menjadi ibadah dan sama dengan perbuatan isteri-isteri Rasulullah saw dan para nabi.
Itu amat digalakkan.

Alhamdulillah..saya bukanlah dalam kategori perempuan yang csntik dan jelita paras rupa sehingga menjadi tarikan para lelaki.

Dan syukur pada ALLAH kerana saya juga bukan dalam golongan yang mempunyai kecacatan pada wajah yang menyebabkan saya untuk menutup keaiban itu..

Tapi saya memilih purdah itu kerana sebab yang ketiga.

Kerana ibadah ikhlas kerana ALLAH..

insyaALLAH.."

Dewan masih lagi sunyi saat aku menghabiskan kata-kata terakhirku.

Sungguh! Aku sudah tidak betah untuk terus berada di situ.

Aku sandang begku ke bahu dan terus melangkah menuruni tangga dewan menuju ke pintu keluar.

Aku memberhentikan langkah berhampiran prof Rashid.

"maafkan saya andai ada terkasar.

maafkan saya andai menyakitkan hati prof.

Prof harus tahu.

Kita hamba ALLAH..bukan hamba pada manusia....

assalamualaikum.."

Aku terus mengatur langkah keluar.

Waktu itu Prof kelihatan kematian kata.

Aku tidak tahu apa yang berlaku di dalam dewan selepas itu.

"Alhamdulillah.."




Terpancul lafaz yang mulia dan damai itu..

Benar..

Aku lega dan tenang kerana aku sudah lakukan sesuatu yang aku rasakan betul.

Rahmat ALLAH seperti bersamaku saat itu..

Kaki terus aku atur pulang ke kolej kediaman.

Dalam hati terdetik..'Akanku terus berjuang untuk secebis kain ini kerana cinta dan kasihku padaMU ya ALLAH.."